Khamis, 16 Ogos 2012

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI 1433H

Assalammualaikum. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua rakan-rakan dan anak-anak pelajar saya yang saya kasihi di alam maya ini...


Sesungguhnya segala puji adalah bagi Allah pemilik kerajaan langit dan bumi. Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad serta ahli keluarga baginda, para sahabat yang setia dan seluruh kaum muslimin dan muslimat. Sempena hari yang mulia pada 1 Syawal 1433H ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Bagi pihak diri saya sendiri dan warga kerja Jabatan Elektrik IKM Beseri
, kami menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan dan kesilapan serta memohon dihalalkan segala yang termakan dan terminum.


Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullah. Lihat di sini....



Isnin, 13 Ogos 2012

PERAKUAN KEKOMPETENAN PENDAWAI PW3/PW4 CALON IKM BESERI SESI 2/2011 - SEPENUH MASA


Assalammualaikum.

Untuk makluman semua sijil perakuan kekompetenan Pendawai PW3/PW4 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi calon sepenuh masa sesi Julai-Disember 2011 telah dihantar oleh Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA ke IKM Beseri. Oleh yang demikian calon-calon yang namanya tersenarai seperti lampiran bolehlah menuntut sijil kekompetenan berkenaan di Unit Peperiksaan dan Persijilan IKM Beseri. Sehubungan itu Jabatan Elektrik IKM Beseri mengucapkan syabas kepada mereka yang berjaya dan kepada yang gagal, sila menduduki semula peperiksaan berkenaan. Pihak kami juga mendoakan agar anda semua, berjaya dalam kerjaya masing-masing dan jangan lupa agar selalu menghubungi Jabatan Elektrik IKM Beseri untuk mendapatkan informasi dan perkembangan terkini. Bagi mereka yang menyambung pengajian di peringkat Penjaga Jentera A1, teruskan perjuangan anda dan pastikan anda melangkah pulang dengan kejayaan. Ingatlah inilah kejayaan yang dinanti-nantikan oleh ibubapa anda yang bersusah payah membesarkan kita. Sekian, Terima Kasih.



Selasa, 22 Mei 2012

ABOUT ME

Halaman ini dalam percubaan.....belajarlah katakan.....harap maaf

Rabu, 16 Mei 2012

SELAMAT HARI GURU



Assalammualaikum. 16 Mei adalah sambutan hari guru, namun terasa juga adakah kita di kampus ni dihargai dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna? Di luar riuh rendah menyambut Hari Guru, namun kita sibuk dengan aktiviti pembelajaran. Adalah diharapkan semua kepada semua anak-anak yang kami didik, bahawa kejayaan terletak di tangan anda semua. Biarlah apabila melangkah keluar dari kampus ini, ianya diiringi dengan segulung kejayaan buat bekalan menempuh kehidupan nanti. Walau bagaimanapun  hakikatnya kita belajar sepanjang masa dengan guru. Dengan kesempatan ini saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua pendidik serta mereka yang berkorban masa dan tenaga dalam membimbing anak bangsa. Jasamu guru-guru semua sentiasa dikenang.. Tak kira siapa mereka..yang mengajar di sekolah, pondok , rumah dan lain-lain..mereka adalah guru..hormati guru..berkat ilmu.. SELAMAT HARI GURU.

Kepada semua pelajar, berusahalah bersungguh-sungguh.......Selamat menduduki peperiksaan akhir semester sesi Jan-Jun 2012 dan peperiksaan kekompetenan ST. 

Khamis, 26 April 2012

KEHENDAK-KEHENDAK KESELAMATAN DALAM PEMASANGAN


PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIAWASI DALAM KERJA-KERJA PEMASANGAN ELEKTRIK

Tangga – adalah contoh alat untuk sampai ke tempat yang lebih tinggi, ia mestilah sentiasa dalam keadaan baik dan seboleh-bolehnya tidak bercat. Semasa digunakan mestilah disaukkan ke bangunan dengan tali atau rantai atau dicondongkan. Di tempat-tempat licin mestilah disokong oleh penyokong tambahan untuk mengelakkan dari tergelincir atau boleh juga ditegapkan dengan menggunakan tapak yang berada pada jarak 1/3 dari panjang tangga. Pengguna mestilah tahu cara bekerja di atas tangga sebelum ia menggunakannya iaitu dengan menjuntaikan sebelah kakinya di antara anak tangga. Jadi apabila tangga itu mengelongsor ia tidak akan merbahayakan pengguna tersebut.
Litar – sebelum bekerja pastikan litar itu mati. Seberapa yang boleh matikan suis utama dan kuncikan. Seelok-eloknya tanggalkan fius dan simpan atau tutupkan pemutus litar. Bekerja pada litar yang hidup amat merbahaya dan dilarang kecuali di waktu kecemasan dan kerja tersebut dilakukan oleh orang-orang yang berkelayakan sahaja dengan mematuhi langkah-langkah berikut:-
1               Menebatkan dirinya dari menjadi pengalir iaitu dengan menggunakan pakaian      bertebat.
2               Bekerja hanya pada satu litar sahaja.
3               Menggunakan sarung tangan penebat dan berdiri di atas benda bukan logam.
4               Semua alat mestilah kering.

KEHENDAK-KEHENDAK KESELAMATAN DALAM PEMASANGAN
 Secara menyeluruh, keselamatan pemasangan elektrik adalah seperti berikut:-
1)          Pekerja yang menjalankan kerja-kerja elektrik mestilah orang yang berkelayakan dan alat  yang digunakan mestilah dalam keadaan baik dan yang diakui sahaja.
2)           Ujian mestilah dijalankan sebelum dan sesudah tambahan pemasangan baru atau baikpulih dibuat oleh orang yang dipertanggungjawabkan
3)               Pengalir yang digunakan hendaklah sesuai saiznya dan penebatannya supaya tahan dengan voltan, arus dan suhu sekitaran.
4)               Fius dan pemutus litar mestlah sesuai kadar arusnya.
5)               Pembumian di kawasan itu hendaklah berkesan.
6)               Dilindungi dari kekaratan, jika perlu. Tidak ada tambahan litar kecuali mendapat kebenaran.

PERATURAN KESELAMATAN
1     Segala kecederaan atau kemalangan, kejadian nyaris dan penyakit mestilah  dilaporkan kepada pihak pengurusan dengan segera.
2     Jangan sesekali menolak sebarang bantuan pertolongan cemas biarpun bagi kecederaan ringan.
3     Jangan bergurau senda semasa bekerja.
4     Merokok hanya dibenarkan di dalam bilik salinan, pejabat, kantin dan kawasan-kawasan yang dibenarkan.
5     Kasut keselamatan yang dibekalkan mestilah dipakai sepanjang masa bekerja.
6     Pakaian seragam mestilah dipakai sepanjang masa bekerja.
7     Pelindung mata mestilah dipakai setiap masa di kawasan yang di tentukan.
8     Alat pelindung pendengaran mesti dipakai di kawasan yang diwajibkan.
9     Topi keselamatan mesti dipakai di kawasan yang ditentukan.
10  Jangan gunakan udara tekanan tinggi untuk membersih pakaian anda dan jangan menghalakan ke mana-mana bahagian tuduh anda atau pekerja lain.
11  Semua tangga yang tidak dilengkapi dengan tapak getah di kakinya atau tangga yang rosak jangan digunakan.
12  Tidak sesiapapun dibenarkan menjalankan sebarang pekerjaan semasa berada di atas palet yang dinaikkan dengan forklif.
13  Berdiri atau bekerja di atas anak tangga paling atas adalah merbahaya dan dilarang sama sekali. Jangan gunakan tangga dalam keadaan yang kurang selamat.
14  Perancah hendaklah diikat dengan kuat dan kemas: pelantar dan pancak digunakan apabila perlu.
15  Tali pinggang keselamatan, tali penyelamat dan abah-abah hendaklah digunakan dengan betul jika sekiranya tangga tidak boleh digunakan.
16  Pekerja dilarang menggunakan kotak atau palet bersusun dan tong sebagai tangga atau perancah.
17  Berjalan di atas paip dan dulang talian kabel sebagai jalan pintas adalah mer bahaya dan dilarang sama sekali.
18  Pekerja dilarang menggunakan kotak atau palet bersusun dan tong sebagai tangga atau perancah.
19  Jangan menumpang jentera angkat -susun (forklif).
20  Semua kenderaan yang masuk dan bergerak di sekitar kawasan kilang tidak boleh melebihi had laju yang ditetapkan.
21  Jentera angkat-susun hendaklah dipandu dengan cermat iaitu dengan mengambil kira keselamatan rakan sekerja dan mesin.
22  Adalah menjadi tanggungjawab setiap pekerja untuk menentukan segala alat perlindungan diri sentiasa dalam keadaan baik, selamat dan bersih.
23  Matikan semua suis bekalan kuasa mesin apabila hendak pulang dan mesin itu tidak digunakan lagi.
24  Ketika mengendalikan bahan kimia, pastikan anda memakai alat perlindungan diri, seperti googel kimia, apron, but getah dan sarung tangan dan lain-lain. Gunakan alat pernafasan jika perlu.
25  Meludah dan membuah sampah di dalam kawasan kilang adalah di larang sama sekali. 







PERAKUAN KEKOMPETENAN PENDAWAI PW3/PW4 CALON IKM BESERI SESI 1/2011 - SEPENUH MASA



Assalammualaikum.

Untuk makluman semua sijil perakuan kekompetenan Pendawai PW3/PW4 bagi calon sepenuh masa sesi Januari-Jun 2011 telah siap. Ianya telah dihantar oleh Bahagian Kemahiran dan Teknikal, Kuala Lumpur. Oleh yang demikian calon-calon yang namanya tersenarai boleh mengambil sijil berkenaan di Unit Peperiksaan dan Persijilan IKM Beseri. Sehubungan itu Jabatan Elektrik IKM Beseri mengucapkan syabas kepada mereka yang berjaya dan kepada yang gagal, sila menduduki semula peperiksaan berkenaan. Insaallah kejayaan akan menanti anda. Sekian, Terima Kasih.


Khamis, 19 April 2012

GARIS PANDUAN PENDAWAIAN ELEKTRIK DI BANGUNAN KEDIAMAN


PENGENALAN


Garis panduan ini dibuat berdasarkan kepada Akta Bekalan Elektrik 1990, Peraturan-Peraturan
Elektrik 1994, Standard MS IEC 60364:2003 ‘Electrical Installations of Building’, MS 1936:2006 ‘Electrical Installations of Building - Guide To MS IEC 60364’ dan MS 1979:2007 ‘Electrical Installations of Building – Code of Practice’.


Garis panduan ini dibuat hasil dari perbincangan dengan wakil-wakil daripada institusi yang ditauliah, pegawai-pegawai teknikal (Keselamatan dan Pembekalan) Suruhanjaya Tenaga (ST) Ibu Pejabat dan ulasan pihak industri. ST mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada MARA (Institut Kemahiran MARA), GIATMARA (Pusat GIATMARA), Kementerian Belia dan Sukan (Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara), Jabatan Tenaga Manusia (Institut Latihan Perindustrian) dan pihak industri serta institusi yang telah banyak memberi kerjasama di dalam menggubal dan melengkapkan garis panduan ini.


TUJUAN

Garis Panduan Pendawaian Elektrik di Bangunan Kediaman ini disediakan sebagai panduan pendawaian kepada semua Pendawai dan Kontraktor Elektrik untuk melaksanakan sistem pendawaian elektrik di rumah-rumah kediaman sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.



Panduan ini dibuat secara ringkas dan padat bertujuan untuk memudahkan sistem pendawaian elektrik di bangunan-bangunan kediaman dibuat dengan sempurna dan selamat untuk digunakan bagi menepati keperluan asas pendawaian. Panduan ini juga berguna kepada pemunya bangunan kediaman atau pepasangan pendawaian supaya keperluan pendawaian elektrik yang sempurna dan selamat di kediamannya dapat dikenali.



Semoga dengan adanya panduan ini, ianya dapat memastikan semua pendawaian elektrik dapat
dibuat berpandukan kepada kaedah dan peraturan keselamatan pendawaian yang betul serta
dapat mengelakkan daripada sebarang kemalangan elektrik yang mungkin akan berlaku. Keperluan keselamatan dalam kerja-kerja pendawaian elektrik hendaklah dipatuhi bagi mengelakkan apa-apa kemalangan sama ada yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal, kehilangan nyawa atau harta benda. Keperluan ini boleh dirujuk pada Lampiran I.



RUJUKAN

Akta Bekalan Elektrik 1990;
Peraturan-Peraturan Elektrik 1994;
Standard MS IEC 60364:2003 ‘Electrical Installations of Building’;
MS 1936:2006 ‘Electrical Installations of Building - Guide To MS IEC 60364’; dan
MS 1979:2007 ‘Electrical Installations of Building – Code of Practice’.

Download Buku Panduan dari ST di sini


Sabtu, 14 April 2012


Gambar pelajar berserta pengajar Program Penjaga Jentera A1 IKM Sik, Kedah sesi 2010

CERITA PENGEMIS DAN ISTERI CANTIK


Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.


"Tolonglah encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.


Dalam hatinya berkata "Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.


Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain. 


Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.


Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suamiya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.


Suami yang baru itu menjawab dengan tenang. "Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!".


Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya diatas. Ada masa ketikanya kita akan turun kebawah dan naik semula atau sebaliknya.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : "Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan".


Anas b. Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda bermaksud :


"Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya".